DAP Sarawak tidak menolak kemungkinan bertanding di lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Dis ini, susulan keputusan PKR untuk tidak menyertai pilihan raya itu.
Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling, berkata parti dijangka memuktamadkan perkara tersebut sama ada hari ini atau esok, menjelang hari penamaan calon pada Sabtu.
“Memang sebelum ini kita telah membuat pengumuman rasmi untuk 12 kerusi. Maka dengan keputusan PKR untuk tidak bertanding, kita telah bermesyuarat semalam dan membuat keputusan.
“Kita tidak membiarkan kerusi itu menang tanpa bertanding lebih-lebih lagi di Miri, di mana kita telah memberikan dua kerusi tradisi DAP untuk PKR,” katanya, seperti dipetik Astro Awani, ketika ditemui di ibu pejabat DAP Sarawak di Kuching.
Senadin dan Piasau di luar jangkaan
Ketika ditanya mengenai kemungkinan bertanding di Senadin, Ling berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada parti untuk membuat keputusan.
Menurut beliau, parti pada awalnya merancang untuk memberi tumpuan hanya kepada kerusi Pujut di Miri, dan beliau telah mencadangkan supaya calon baharu diketengahkan di situ.
“Kami tidak menjangkakan keputusan PKR secara tiba-tiba untuk tidak bertanding di dua kerusi itu (Piasau dan Senadin). Jika parti memutuskan untuk bertanding di kerusi tersebut, saya mungkin menjadi salah seorang calonnya.
“Bagaimanapun, kami hanya dapat mengesahkan siapa yang akan bertanding selepas surat pencalonan dikeluarkan, kerana kami mempunyai calon lain,” katanya.
PKR hormati persefahaman dengan GPS
Pada Selasa, PKR Sarawak mengumumkan bahawa parti itu tidak akan bertanding PRN berkenaan sebagai menghormati persefahaman yang dicapai dengan gabungan parti pemerintah negeri, Gabungan Parti Sarawak (GPS), ketika pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.
Dengan PKR dan Amanah tidak menyertai pilihan raya itu, DAP akan menjadi satu-satunya parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam PRN berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.