Puad Zarkashi mempersoalkan sama ada Umno turut dianggap ‘dajal kecil’ susulan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menyifatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dan tujuh Ahli Parlimen pembangkang dengan istilah itu.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, kenyataan Hadi seolah-olah menggambarkan CSA sebagai sesuatu yang haram, sedangkan Umno merupakan antara parti yang membentuk kerajaan perpaduan.
“Menurut Hadi, ia adalah dajal kecil yang menjadi tentera kepada dajal besar. Apakah itu bermakna Umno juga adalah dajal kecil kerana Umno anggota kerajaan perpaduan,” katanya di Facebook.
Gesa Majlis Ulama Umno bersuara
Sehubungan itu, Puad menggesa Majlis Ulama Umno tampil menyatakan pendirian. Beliau turut mempersoalkan sikap berdiam diri beberapa tokoh agama parti itu, termasuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Khairuddin Aman Razali.
“Takut nanti masuk dalam kategori ‘syaitan bisu’ yang Hadi pernah ungkapkan,” katanya.
Puad turut mempersoalkan sama ada tindakan menggunakan agama untuk kepentingan politik sebenarnya lebih menyerupai perbuatan yang dikritik Hadi.
Hadi samakan CSA dengan penipuan dajal
Semalam, Hadi mengumpamakan CSA yang ditandatangani antara kerajaan dan tujuh Ahli Parlimen pembangkang sebagai penipuan dajal atau “pembohong paling besar”.
Dalam Islam, kemunculan dajal dianggap sebagai antara tanda besar semakin hampirnya Hari Kiamat.
Hadi mendakwa, CSA merupakan pendekatan dajal pada akhir zaman kerana kuasa tidak lagi dianggap sebagai amanah yang wajib ditunaikan kepada semua. Sebaliknya, kuasa digunakan untuk memaksa pihak tertentu bagi memastikan kerajaan terus berkuasa.
Katanya, mana-mana parti yang membentuk kerajaan wajib menunaikan amanah kepada rakyat secara langsung tanpa perlu membuat aku janji terlebih dahulu.
Apa kandungan CSA
CSA ditandatangani Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dan lima Ahli Parlimen Bersatu lain, serta Ahli Parlimen Muar daripada Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perjanjian itu memberikan tujuh wakil rakyat berkenaan akses kepada peruntukan pembangunan kawasan Parlimen, yang telah diterima Ahli Parlimen kerajaan sepanjang empat tahun lalu.
CSA turut merangka dua reformasi utama yang mesti dilaksanakan Putrajaya sebagai balasan kepada sokongan mereka, iaitu meletakkan had tempoh jawatan perdana menteri dan memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya sebelum tamat penggal Parlimen.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.