
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memberi amaran bahawa kontroversibekas Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador perlu disiasat SPRM bagi mengelakkan persepsi negatif rakyat dan mengekalkan kredibiliti usaha anti-rasuah kerajaan.
Beliau menegaskan walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim berulang kali menyuarakan komitmen menolak rasuah, skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia kekal pada 50 mata bagi tahun 2023 dan 2024 di kedudukan 57 dunia, hampir sama dengan pencapaian 2015 ketika skandal 1MDB memuncak.
Menurut Rafizi, persepsi rakyat bergantung kepada dua perkara: keberkesanan reformasi membanteras rasuah hingga ke akar umbi dan keyakinan umum bahawa kerajaan konsisten tanpa pilih kasih dalam penguatkuasaan.
Beliau memberi amaran bahawa amat berbahaya jika pentadbiran dilihat bersikap pilih kasih, khususnya apabila melibatkan pimpinan Kerajaan Perpaduan atau individu rapat dengan Perdana Menteri.
Rafizi turut menimbulkan isu lesen penerokaan mineral seluas 70,000 hektar di Sabah yang dikaitkan dengan Farhash. “Farhash didakwa terlibat dengan pelbagai urus niaga kontroversi dan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengannya dikatakan memperoleh kontrak besar kerajaan sejak Anwar menjadi PM.”
“Nilai sebenar kontrak-kontrak itu tidak diketahui, tetapi pengaruh dan gaya hidup mewah Farhash menjadi buah mulut orang ramai. Sebelum ini Anwar menafikan kaitan tersebut dengan alasan Farhash bukan lagi setiausaha politiknya,” tambahnya.
Namun Rafizi berkata tuduhan terkini disertakan dokumen dan rakaman audio, malah lebih banyak pendedahan mungkin muncul. Beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Farhash sama seperti terhadap individu lain yang kaya mendadak.
“Jika isu ini tidak ditangani, usaha kerajaan meningkatkan kedudukan CPI akan terjejas dan boleh menjadi liabiliti kepada PKR dan PH pada pilihan raya akan datang,” kata bekas timbalan presiden PKR.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.