
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin mengingatkan semua peserta Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 26 Julai ini agar mematuhi tatasusila serta mengelakkan sebarang tindakan provokatif yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan keselamatan dan keamanan awam sepanjang perhimpunan tersebut berlangsung.
“Saya menyeru semua peserta untuk menjaga adab dan mematuhi undang-undang. Jangan lakukan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Perlu diingat bahawa menyertai perhimpunan aman merupakan hak setiap rakyat Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Muhyiddin menegaskan beliau bersama pimpinan PN lain akan turun bersama rakyat dalam perhimpunan itu bagi menyatakan pendirian berhubung apa yang didakwanya sebagai kegagalan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pelbagai janji yang dibuat Perdana Menteri masih belum ditunaikan, termasuk dalam menangani isu kos sara hidup yang semakin menekan rakyat.
“Masalah beban hidup tidak ditangani, malah pelbagai cukai baharu diperkenalkan dan subsidi pula dipotong. Ini semakin membebankan rakyat.
Malah, janji kerajaan untuk menjamin kebebasan bersuara turut dicabuli apabila semakin ramai rakyat biasa diugut, disiasat, dan didakwa hanya kerana menyuarakan bantahan terhadap dasar kerajaan,” katanya lagi.
Bekas Perdana Menteri itu turut mengulas pengumuman bantuan tunai RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta penurunan harga petrol RON95 sebanyak enam sen baru-baru ini, yang menurutnya merupakan langkah terdesak kerajaan bagi meredakan kemarahan rakyat.
“Ini bukan penyelesaian sebenar. Apa yang rakyat harapkan adalah semakan semula terhadap pelaksanaan pelbagai cukai dan pemotongan subsidi yang membebankan mereka. Malangnya, itu tidak dilakukan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru rakyat Malaysia untuk menyertai himpunan aman berkenaan sebagai tanda solidariti dalam menuntut keadilan dan pembelaan terhadap tekanan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.