Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi umpama “menjaringkan gol sendiri” apabila mengeluarkan kenyataan yang kemudiannya ditarik balik berhubung kesediaan Turki menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia, kata bekas pemimpin Umno, Shahril Hamdan.
Shahril berkata kenyataan pramatang presiden Umno itu bukan sahaja memalukan dirinya dan pasukannya, malah turut membawa implikasi negatif kepada negara.
“Kalau kita punya orang nombor dua dalam kerajaan buat satu kenyataan yang kemudiannya kerajaan lagi satu cakap, itu tak betul, bagi saya ia memalukan.
“Saya rasa tak patutlah benda itu berlaku,” katanya dalam episod terbaharu audio siar “Keluar Sekejap” bersama Timbalan Presiden Muda, Zaidel Baharuddin.
Kenyataan ditarik balik
Pada 20 November, Zahid mengeluarkan kenyataan bahawa Jemaah Menteri meluluskan rancangan untuk menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya kes Turki melalui program latihan teknikal dan vokasional selama tiga hingga enam bulan.
Beliau berkata Turki bersetuju menerima mereka, manakala proses pemilihan dan penempatan semula akan diselaraskan bersama pihak berkuasa Turki dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Bagaimanapun, pengumuman Zahid itu kemudiannya ditarik balik tanpa sebarang penjelasan, manakala Turki mengeluarkan kenyataan menolak dakwaan berkenaan.
Anwar Ibrahim kemudiannya berkata Turki memaklumkan kepada Malaysia bahawa negara itu tidak bersedia menerima pelarian Rohingya dari Malaysia kerana kini menempatkan empat juta pelarian.
Naratif PH terhadap Zahid
Shahril berkata kesilapan Zahid itu hanya mengukuhkan tanggapan bahawa Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tidak layak menjadi pemimpin negara, iaitu naratif yang akan terus diketengahkan Pakatan Harapan (PH) di tengah-tengah hubungan yang semakin tegang dengan BN di peringkat persekutuan.
Beliau berkata akaun media sosial pro-PH sudah mula menyebarkan semula video lama Zahid yang menunjukkan beliau seolah-olah memarahi wartawan dan kurang menguasai bahasa Inggeris.
“Ini bukan kebetulan. Mereka cuba menggambarkan PMX (Anwar) sebagai pemimpin yang tenang, yang boleh bercakap di pentas antarabangsa dan boleh dilihat sebagai seorang yang ada gaya sebagai perdana menteri.
“(Sementara itu) alternatifnya ialah Zahid, yang cuba digambarkan oleh jentera siber PH sebagai seorang yang panas baran dan mengeluarkan kenyataan yang memalukan negara,” kata Shahril.
Zahid perlu lebih berhati-hati
Zaidel mempersoalkan mengapa Zahid mengeluarkan kenyataan itu sedangkan urusan dua hala terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Negeri, yang diterajui Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.
Bagaimanapun, Shahril berkata episod Turki itu dan usaha Anwar berurusan dengan kerajaan Myanmar pimpinan junta bagi menghantar pulang pelarian menunjukkan bahawa PH dan BN sedang bersaing untuk menyelesaikan “krisis” pelarian di Malaysia.
Dengan BN masih mendapat dorongan daripada prestasi cemerlangnya dalam tiga PRN baru-baru ini, beliau berkata Zahid perlu lebih berhati-hati dalam menangani perkara yang membawa risiko politik lebih besar berbanding potensi keuntungan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.