
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, bertitah menyeru semua pihak agar mengelakkan diri daripada membuat sebarang spekulasi atau tuduhan negatif tanpa terlebih dahulu mendapatkan fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, baginda memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 telah berlangsung semalam dengan baginda sendiri mempengerusikan sesi tersebut.
“Alhamdulillah, Beta memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mesyuarat ini telah dapat dijalankan dengan baik dan lancar,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah bahawa antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah mengenai rundingan pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, serta hakim-hakim mahkamah atasan yang lain.
Dalam konteks rundingan tersebut, baginda menekankan kepentingan mematuhi setiap peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan di mahkamah atasan.
“Dalam hal ini, Beta menyokong sepenuhnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025, yang menegaskan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan-jawatan penting lain dalam badan kehakiman, setelah menerima nasihat daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja,” titah baginda lagi.
Baginda turut menegaskan bahawa proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ini perlu dilaksanakan dengan telus dan berhati-hati bagi memastikan keluhuran undang-undang terus terpelihara serta prinsip keadilan dapat ditegakkan sebagai tunjang utama dalam sistem pemerintahan negara.
“Sehubungan itu, Beta menyeru agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan tanpa asas sebelum memperoleh fakta yang menyeluruh dan sahih berkaitan sesuatu perkara,” titah baginda mengakhiri kenyataan.