
Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Puad Zarkashi menyifatkan perhimpunan ‘Turun Anwar’ anjuran PAS pada 26 Julai ini sebagai demonstrasi retorik yang bersifat fanatik.
Menurut beliau, sasaran kehadiran seramai 300,000 peserta seperti yang dinyatakan oleh PAS bukanlah sesuatu yang mustahil, memandangkan budaya demonstrasi sudah sebati dengan parti tersebut.
“Mereka memang gemar berdemonstrasi. Lagi pula, ahli-ahli PAS amat fanatik dan taksub terhadap arahan parti. Sasaran 300,000 peserta hanyalah ‘kacang’ bagi mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Namun, beliau mempersoalkan sejauh mana keberkesanan demonstrasi itu dalam mencapai matlamat sebenar, iaitu mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Adakah objektif ‘Turun Anwar’ akan tercapai? Jawapannya tidak. PAS juga tidak berani membawa usul undi tidak percaya di Parlimen,” katanya lagi.
Puad turut menegaskan bahawa UMNO kekal komited untuk menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat.
“UMNO tidak akan sesekali menyokong himpunan ini. Kami komited mempertahankan kerajaan sedia ada demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.
“Justeru, himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai ini hanya sekadar menunjukkan kekuatan PAS, dan impaknya dijangka kecil sekiranya tiada penyertaan meluas daripada masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) yang diterajui PAS dan Bersatu menyatakan bahawa himpunan tersebut bertujuan menyuarakan bantahan terhadap kegagalan kerajaan dalam mengurus ekonomi dan kebajikan rakyat.
Semalam, Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden memaklumkan seramai 300,000 orang dijangka hadir ke Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar pada 26 Julai.
Antara yang dijangka hadir termasuklah pimpinan utama PN dan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.