
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kadar 25 peratus yang kini sedang dirundingkan oleh Malaysia akan diumumkan esok.
Beliau berkata demikian susulan panggilan telefon beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pagi tadi.
Trump pada 2 April lalu telah mengumumkan pelaksanaan tarif meluas ke atas beberapa ekonomi dunia selepas mendakwa AS sering dipinggirkan dalam urusan perdagangan antarabangsa.
Beliau kemudiannya menandatangani satu perintah untuk menangguhkan tarikh akhir pelaksanaan tarif timbal balik tersebut kepada 1 Ogos, sementara rundingan dengan negara-negara lain masih berlangsung.
Washington sebelum ini menyatakan bahawa Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus terhadap barangan yang dieksport ke AS sekiranya gagal mencapai persetujuan menjelang 1 Ogos.
Minggu lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia mensasarkan kadar tarif yang “serendah mungkin”.
Beliau turut menafikan bahawa sasaran Malaysia adalah 20 peratus.
“Seberapa rendah yang boleh… sasaran 20 peratus bukan sasaran utama; sasaran adalah lebih rendah daripada itu,” katanya sebagaimana dilaporkan.
Menurut beliau, terdapat beberapa konsesi yang tidak dapat dipersetujui Malaysia kerana boleh menjejaskan industri tempatan, namun negara tetap mempertimbangkan setiap permintaan yang boleh membantu memuktamadkan rundingan tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan butiran konsesi berkenaan.
Tengku Zafrul sebelum ini menegaskan Malaysia tidak bersedia untuk melepasi beberapa “garis merah” dalam rundingan tersebut, merujuk kepada tuntutan AS yang disifatkannya menceroboh kepentingan domestik serta kedaulatan negara.