
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden, menamakan lima pemimpin gabungan itu sebagai calon perdana menteri bagi PRU16, dengan Hamzah Zainudin muncul sebagai satu-satunya wakil dari Bersatu.
Bercakap dalam program audio siar Harakah Daily, Dari Jalan Pahang, Afnan menyenaraikan empat pemimpin PAS sebagai pilihan, iaitu Presiden PAS Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, serta dua Naib Presiden, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Idris Ahmad.
Afnan, yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, turut menamakan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, sebagai calon perdana menteri berpotensi mewakili keseluruhan PN memandangkan kedudukannya sebagai ketua pembangkang.
“Kalau tanya saya, PAS kerana paling ramai Ahli Parlimen; tetapi kalau tanya atas nama PN, saya kata ketua pembangkang, Hamzah.
“Kalau dari PAS, Marang (Hadi) pernah jadi menteri besar dan boleh jadi perdana menteri… Timbalan Presiden, Kubang Kerian (Tuan Ibrahim), juga pernah berada dalam Kabinet.
“Naib Presiden, Ahli Parlimen Kemaman (Samsuri), kini menteri besar Terengganu dan pernah mengetuai kerajaan negeri, boleh jadi perdana menteri; begitu juga Idris Ahmad (Bagan Serai) yang pernah menjadi menteri,” katanya dalam program itu baru-baru ini.
Menurut Afnan, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Idris Ahmad turut layak dipertimbangkan untuk mengetuai Putrajaya. Beliau mengulas persoalan mengenai calon perdana menteri PN yang kerap dibangkitkan masyarakat susulan perhimpunan pembangkang di Kuala Lumpur pada 26 Julai lalu.
Perhimpunan tersebut diadakan bagi mendesak Anwar Ibrahim melepaskan jawatan perdana menteri.
Isu calon perdana menteri atau ‘poster boy’ PN bagi PRU16 sering menjadi perbincangan dan mencetuskan percanggahan pandangan dalam kalangan pemimpin komponennya. Pada November tahun lalu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, menafikan bahawa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, telah disahkan sebagai calon rasmi PN, sambil menegaskan PAS wajar mengetuai gabungan itu. Namun, beberapa pemimpin Bersatu dan Gerakan terus menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai calon utama perdana menteri mewakili PN.
Pada 29 Julai lalu, Hashim menyatakan PN hanya akan memutuskan siapa calon perdana menterinya selepas gabungan itu berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya.
Mengulas lanjut, Afnan berkata cabaran sebenar yang menanti PN adalah membentuk pasukan pentadbiran yang kukuh sekiranya menang pilihan raya. Beliau juga mendakwa kekuatan PN mendorong musuh melaga-lagakan PAS dan Bersatu dengan menimbulkan isu remeh, termasuk ketiadaan PAS pada pertemuan Muhyiddin bersama parti-parti luar kerajaan bagi membentuk Barisan Pembangkang Bersatu, bulan lalu.
“Tiada masalah hubungan dalam kalangan Ahli Parlimen PN,” tegasnya.