
Perikatan Nasional (PN) mengecam serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, berusia 12 tahun, dan menyifatkannya sebagai ancaman serius terhadap demokrasi negara.
Ketua Pembangkang, Takiyuddin Hassan, mengutuk insiden tersebut sebagai “tidak boleh diterima sama sekali”, yang mana anak Rafizi didakwa diseret dan dicucuk dengan jarum suntikan oleh seorang penyerang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata PN mengambil maklum kenyataan Rafizi bahawa serangan berkenaan bertujuan memberi amaran agar beliau berhenti bersuara mengenai isu-isu tertentu.
“Jika benar, ia mencerminkan perkembangan politik samseng yang membimbangkan dan menimbulkan ancaman serius kepada landskap demokrasi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
“Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya membawa kepada ancaman atau keganasan fizikal, apatah lagi apabila melibatkan kanak-kanak.
“Penjenayah mesti dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang tegas sebagai mesej jelas bahawa sebarang bentuk keganasan, khususnya terhadap kanak-kanak, tidak mendapat tempat di negara ini.”
Sambil menyampaikan sokongan moral kepada Rafizi dan keluarganya, Takiyuddin berkata PN turut mendoakan agar anak tersebut pulih sepenuhnya.
Beliau menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh oleh sebarang provokasi atau spekulasi yang mungkin direka untuk memecahbelahkan masyarakat susulan kejadian itu.
“Keamanan dan kestabilan negara adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata semalam kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 2 petang di kawasan parkir pusat beli-belah berkenaan.