
Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh, menegaskan beliau sanggup disiasat di bawah Akta Hasutan jika itu harga yang perlu dibayar demi mempertahankan kehormatan negara.
Beliau berkata pendirian itu selari dengan kenyataannya sebelum ini yang menggesa tindakan undang-undang tegas terhadap mana-mana pihak yang memperkotak-katikkan Jalur Gemilang.
“Jika inilah harga yang perlu saya bayar untuk mempertahankan kehormatan negara tetapi disiasat di bawah Akta Hasutan, saya tidak akan berganjak dan akan memberi kerjasama sepenuhnya.
“Jika ini harga yang perlu saya bayar, saya harap rakyat sedar bahawa orang yang melakukan kesalahan dianggap ‘hero’, tetapi apabila kita cuba memperbetulkan keadaan, kita pula dianggap bersalah,” katanya dalam sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, awal pagi tadi.
Terdahulu, media melaporkan Datuk Dr Muhamad Akmal tiba di IPD Dang Wangi sekitar jam 11 malam bersama peguamnya, Aizat Azam, dan beberapa peguam lain bagi memberi keterangan berhubung demonstrasi di hadapan sebuah kedai di Kepala Batas, kelmarin. Lebih 50 penyokong dilaporkan hadir untuk memberi sokongan sepanjang proses rakaman keterangan dijalankan.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata himpunan yang diadakan di Kepala Batas kelmarin berlangsung secara aman tanpa sebarang provokasi.
“Kami berjaya mengadakan himpunan itu secara aman dan tidak seperti dakwaan bahawa kami bertindak dengan kekerasan. Rakyat Malaysia masih mampu berfikir; mereka juga mempunyai hati dan perasaan untuk menghormati lambang negara — Jalur Gemilang,” katanya.
Beliau menambah isu pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik bukan perkara baharu kerana ia sering berlaku setiap kali bulan kemerdekaan.
“Sekiranya tiada hukuman yang tegas dan tiada tindakan diambil terhadap pihak yang sesuka hati memperkotak-katikkan lambang negara ini, perkara ini akan berulang setiap tahun.
“Jika kesilapan itu disengajakan — misalnya mengibarkan bendera secara terbalik dan merekodkannya — ia seolah-olah menghina rakyat Malaysia,” katanya.
Menjawab gesaan Pemuda DAP Pulau Pinang yang menyeru kepimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengannya, Muhamad Akmal menegaskan himpunan tersebut tidak bermotifkan politik meskipun beliau wakil UMNO.
“Himpunan ini bukan untuk dipolitikkan. Ini soal menjaga kehormatan negara. Jika ada pihak yang mahu mempolitikkan isu ini dan menuduh kami mempolitikkan, dipersilakan, teruskan,” katanya.
Kelmarin, Muhamad Akmal dilaporkan mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, BERSATU dan PAS dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik.
Sementara itu, Aizat berkata proses rakaman percakapan anak guamnya di IPD Dang Wangi malam tadi mengambil masa kira-kira dua jam, bermula sekitar jam 11 malam dan tamat kira-kira jam 1 pagi. Beliau berkata keterangan diambil berhubung dua laporan polis berkaitan Himpunan Solidariti Jalur Gemilang di Pulau Pinang dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Anak guam kami memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan menjawab kira-kira 80 soalan yang diajukan. Kami juga menghargai layanan profesional dan beretika pegawai polis sepanjang proses ini.
“Beliau menegaskan tidak akan melarikan diri dan akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan proses undang-undang dipatuhi,” katanya.