
Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menyiasat satu akaun TikTok yang dikesan menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar S Muthuvelu, berkata siasatan dijalankan terhadap akaun @berjuanguntukzara kerana memuat naik kandungan tidak sahih berkaitan kes tersebut.
“PDRM menyeru orang ramai supaya segera menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab ini kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Penularan maklumat palsu juga berpotensi menjejaskan kelancaran serta keberkesanan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam.
Selain itu, siasatan turut dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melibatkan kesalahan penyalahgunaan kemudahan rangkaian serta penyiaran kandungan yang boleh menghasut kebencian dan menimbulkan kegusaran awam.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.