
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) memandang serius pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, dengan menegaskan bahawa latar belakang beliau yang cenderung kepada politik ekstrem kanan dan retorik perpecahan bercanggah dengan nilai kemajmukan, toleransi dan solidariti yang dipegang oleh rakyat serta kerajaan Malaysia.
Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Izuadin dalam satu kenyataan menekankan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, berhak mengikut Artikel 4 Konvensyen Vienna untuk menyuarakan kebimbangan atau menolak sebarang pencalonan diplomatik asing yang tidak selari dengan dasar luar dan sensitiviti tempatan.
“Penolakan ini bukan satu bentuk permusuhan, tetapi langkah mempertahankan hubungan dua hala yang sihat dan saling menghormati.”
Justeru, AMK akan menghantar satu memorandum rasmi kepada Kedutaan Amerika Syarikat sebagai bentuk bantahan terhadap pencalonan tersebut serta mendesak agar individu yang lebih berwibawa, sederhana dan menghormati nilai keadilan sejagat dilantik demi kepentingan bersama.
Adams memperoleh kewarganegaraan AS pada tahun 2021 dan mula meraih populariti pada tahun 2016 apabila Trump memuji bukunya Green Card Warrior di media sosial, menyifatkannya sebagai “bacaan wajib.”
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mencalonkan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat yang baharu ke Malaysia minggu lalu, nama pencalonannya telah dihantar secara rasmi ke Senat untuk proses pengesahan.
Sebagai penulis dan tokoh konservatif media, Adams telah menerbitkan enam buah buku, yang kebanyakannya mengkritik Presiden Joe Biden dan mengagungkan Trump serta bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill, kedua-duanya digambarkan sebagai “pembela tamadun Barat.”
Adams turut mencetuskan perhatian ramai dengan kenyataan terbuka di media sosial mengenai peminatannya terhadap Hooters, rangkaian restoran AS yang sering dikritik kerana mengeksploitasi imej wanita. Menurut Politico, beliau membuat lebih 500 hantaran mengenai restoran tersebut dalam tempoh empat tahun.
Pada tahun 2024, Adams menerbitkan buku bertajuk Alpha Kings yang memberi panduan kepada golongan lelaki muda mengenai gaya hidup dan kepimpinan untuk menjadi “alpha male” sejati. Trump menulis prakata buku tersebut, sekali gus menunjukkan sokongannya yang berterusan terhadap Adams.
Sebelum berpindah ke Amerika Syarikat, Adams pernah berkhidmat dalam kerajaan tempatan di Australia. Namun, kerjayanya dalam politik terhenti selepas beberapa ahli Parti Liberal mengecam kelakuannya dan mencadangkan penggantungan atas alasan mencemarkan imej parti.