
Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk stesen-stesen KTMB dan Prasarana akan terus beroperasi seperti biasa pada 26 Julai 2025.
Beliau berkata Kerajaan Madani mempertahankan hak kebebasan berhimpun, termasuk mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan. “Kita tidak boleh kembali ke zaman yang menindas demokrasi sehingga Parlimen pun ditutup,” katanya.
Anthony Loke menegaskan, pengangkutan awam mesti terus berfungsi supaya majoriti rakyat dapat melaksanakan urusan hujung minggu tanpa diganggu oleh perhimpunan pembangkang.
Beliau turut mengingatkan orang ramai yang ke ibu kota bahawa Pas MY50 kini boleh diperbaharui secara dalam talian melalui aplikasi Touch N’ Go. Setiap pas bernilai RM150, pengguna hanya bayar RM50 manakala kerajaan menanggung subsidi RM100.
Bagi yang pertama kali ke Kuala Lumpur, MyCity Pass membolehkan penggunaan tanpa had LRT, MRT, BRT, Monorel dan RapidBas selama sehari dengan harga RM6 sahaja. Pas ini juga akan didigitalkan menjelang hujung tahun.
Anthony Loke menggalakkan peserta perhimpunan esok menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota.