
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas sikap segelintir tokoh politik lama yang masih lantang mengkritik kerajaan walaupun memiliki kekayaan berbilion ringgit.
Beliau turut mempersoalkan keikhlasan perjuangan mereka yang kononnya membela nasib orang Melayu sedangkan kekayaan yang dikumpul tidak disalurkan semula kepada rakyat.
“Sebab itu saya tidak hairan, baru-baru ini di Alor Setar, anak beliau sendiri mengisytiharkan harta kepada SPRM melebihi RM1 bilion, dan keluarganya pula memiliki harta bernilai RM4 bilion. Tetapi dia masih mahu menentang kerajaan dan mendesak kita untuk berundur.
“Kalau betul-betul mahu perjuangkan orang Melayu, silakan. Tapi kalau dah ada RM1 bilion, pulangkanlah semula kepada rakyat,” katanya semasa berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar Kampus UiTM Permatang Pauh, hari ini.
Anwar turut mempersoalkan tindakan Mahathir yang masih terlibat dalam politik walaupun telah memerintah negara selama 24 tahun.
“Tun Mahathir memerintah 22 tahun, tambah lagi dua tahun jadi 24 tahun. Melayu dalam keadaan begini siapa yang memerintah? Awak (Mahathir) dah pegang kuasa selama 24 tahun, duduk diam-diamlah. Harta dah banyak, rumah pun tak boleh duduk senang.”
“Dia kata saya zalim, rakyat tak boleh bercakap. Tapi zaman dia dulu, ramai yang ditahan dan dipenjara. Jadi saya bukan macam dia, zaman dia ramai yang kena tangkap.”
Beliau menyeru rakyat, khususnya orang Melayu, agar menilai keadaan politik dan ekonomi negara secara rasional serta tidak mudah termakan dengan retorik lama.
“Malaysia sekarang adalah antara negara yang paling stabil, pelabur pun semakin yakin. Masalah kita ialah hutang yang diwarisi; kalau tidak diselesaikan, boleh bawa kepada muflis. Kita kena fikir masa depan negara.”
“Saya bukan nak main sentimen, sebab saya tahu ramai maki saya setiap hari… itu kerja mereka. Tapi yang saya dukacita, kenapa orang kita sendiri boleh percaya fitnah sedemikian rupa? Takkan tak boleh fikir?”
Media sebelum ini melaporkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad mendakwa penyingkiran seorang Perdana Menteri tidak semestinya berlaku hanya melalui pilihan raya, sebaliknya boleh terjadi jika rakyat mendesak berikutan kegagalan dalam pentadbiran.