
Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyindir pendekatan “reformasi” kerajaan sekarang, mempersoalkan isu sistem kehakiman, hak asasi dan kebebasan bersuara yang semakin membimbangkan.
Beliau menegaskan negara kini berdepan kekosongan serius dalam badan kehakiman apabila tiada Ketua Hakim dan 30 kekosongan jawatan hakim belum diisi, sesuatu yang disifatkan tidak pernah berlaku.
“Negara tiada Ketua Hakim, tiga puluh jawatan hakim kosong. Apa sudah jadi? Tidak pernah ini berlaku,” katanya di media sosial.
Mahathir turut mengulas isu kebocoran dokumen, mempersoalkan mengapa individu yang membocorkannya diambil tindakan jika benar kandungan itu tidak sahih.
“Konon ada kebocoran, konon yang bocor tidak benar. Kalau tidak benar, kenapa bertindak pada pembocor? Mungkin benar? Macam‑macam tuduhan dibuat. Lihat tangan sendiri, bersih atau tidak,” sinisnya.
Beliau juga membidas larangan bersuara mengenai isu pilihan hakim, dokumen tambahan, dan saham syarikat seperti MAHB.
“Hey! Jangan politikkan pilihan hakim, jangan sebut addendum, jangan sentuh saham MAHB, jangan cakap pasal isu 3R. Tampal mulut, cucuk hidung, tarik sesuka hati. Inilah sebahagian reformasi,” katanya.
Mahathir turut menegaskan tindakan merampas harta dan menahan tanpa pertuduhan juga dipanggil reformasi.
“Bukan sahaja undang‑undang tidak dipeduli, bersuara pun tidak boleh. Bercakap di Parlimen pun boleh digantung. Wow! Reformasi memang ‘hebat’, jeritlah reformasi,” ujarnya.