
Ketua Penerangan Bersatu, Faisal Ismail Aziz, memberi amaran kepada wakil rakyat yang meninggalkan parti supaya mengosongkan kerusi mereka dan membayar RM10 juta kepada parti.
Beliau mengingatkan mereka tentang baiah dan sumpah yang dilafazkan kepada parti ketika dipilih sebagai calon pilihan raya.
“Jika meninggalkan parti atau bertukar ke parti lain, maka akan dilaknat Allah, Rasul dan orang yang beriman, segala perbelanjaan menggunakan elaun ahli dewan tersebut adalah haram,” katanya dalam catatan Facebook.
Ikrar wajib letak jawatan dan bayar RM10 juta
Faisal turut berkongsi tangkap layar dokumen ikrar yang menyatakan wakil rakyat perlu meletak jawatan sebagai Adun, Ahli Parlimen atau senator jika mereka keluar parti atau menyertai parti lain.
“Apabila saya keluar atau dipecat daripada parti, saya bersetuju untuk membayar RM10 juta kepada Bersatu dengan serta-merta,” menurut ikrar itu.
Kenyataan susul bayangan Razali Idris
Walaupun Faisal tidak menyebut nama, kenyataannya dibuat selepas Exco Terengganu, Razali Idris, memberi bayangan untuk meninggalkan Bersatu dan menyertai parti baharu.
Bayangan itu diberikan lebih sebulan selepas Razali meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu Terengganu.
Adun Kijal itu dilaporkan berkata, 30 Sept merupakan hari terakhirnya sebagai pemimpin Bersatu, selepas 10 tahun memegang jawatan kepimpinan dalam parti serpihan Umno itu.
Razali: Patuh arahan yang tidak bercanggah dengan Islam
Dalam responsnya kepada Faisal menerusi catatan Facebook, Razali berkata sebahagian ikrar yang ditandatanganinya adalah untuk mematuhi arahan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.