
Satu-satunya wakil Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan Pulau Pinang menggesa kerjasama antara gabungan itu dengan Pakatan Harapan (PH) diteruskan, sambil menyifatkan kerjasama mereka sebagai sesuatu yang membina dan memberi manfaat kepada negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan negeri, Rashidi Zinol, berkata beliau tidak menghadapi sebarang masalah bekerjasama dengan rakan daripada PKR dan DAP sepanjang tiga tahun berada dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Adun Sungai Acheh itu berkata hubungan kerja tersebut berasaskan sikap saling menghormati, persefahaman, komunikasi yang baik, serta tumpuan bersama terhadap kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.
“Perbezaan latar belakang parti tidak sepatutnya menghalang kita daripada bekerjasama apabila matlamat utama kita adalah memastikan kerajaan negeri ditadbir dengan berkesan dan rakyat mendapat manfaat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerjasama PH-BN di Pulau Pinang wajar dihargai
Beliau turut menyatakan kerjasama PH dan BN yang diwujudkan di Pulau Pinang selepas PRN 2023 merupakan satu bentuk persefahaman politik yang wajar dihargai dan diperkukuh.
Kenyataan Rashidi ini dibuat susulan gesaan berterusan daripada Penasihat DAP, Lim Guan Eng, supaya Umno disingkirkan daripada kerajaan Pulau Pinang, selepas BN menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.
Namun begitu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow, yang juga pengerusi PH Pulau Pinang, berkata kepimpinan PH negeri masih belum menerima sebarang arahan berhubung perkara itu daripada kepimpinan pusat.
Chow: Beri ruang Majlis Presiden PH bincang hubungan PH-BN
Sambil menegaskan kepimpinan negeri akan mematuhi keputusan untuk mengekalkan Rashidi dalam pentadbiran negeri, Chow turut menggesa pemimpin parti memberi ruang kepada Majlis Presiden PH untuk membincangkan hubungan yang semakin tegang antara PH dan BN.
Dalam kenyataannya hari ini, Rashidi turut menyatakan sokongan terhadap usaha mengekalkan dan memperkukuh kerajaan perpaduan sehingga tamat tempohnya. Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan kestabilan politik, kesinambungan dasar, serta tumpuan berterusan terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Kestabilan politik bukan sekadar mengenai parti atau jawatan, tetapi mengenai keupayaan kita untuk bekerjasama, menghormati perbezaan dan menyelesaikan perkara yang memberi kesan kepada rakyat,” katanya.
“Kerjasama yang baik mesti diteruskan. Perbezaan boleh diraikan, tetapi kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.