
Bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming percaya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mungkin tewas di kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, susulan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lepas.
Ong berkata, Johor telah sekian lama dianggap sebagai kubu kuat Bersatu, mengambil kira kerjaya politik Muhyiddin yang panjang di negeri tersebut.
“Muhyiddin sudah mewakili kawasan itu untuk tempoh yang lama sebagai Ahli Parlimen dan juga pernah berkhidmat sebagai menteri besar,” katanya dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap.
Muhyiddin telah menjadi Ahli Parlimen Pagoh selama sembilan penggal, memegang kerusi tersebut dari 1978 hingga 1986, dan kemudiannya dari 1995 sehingga kini. Pada PRU 2022, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa sebanyak 10,007 undi. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai menteri besar Johor dari 1986 hingga 1995.
Data PRN Johor tunjuk sokongan merudum
Ong berkata, sokongan terhadap Bersatu dilihat semakin lemah selepas PAS menamatkan kerjasama politiknya dengan parti itu bulan lepas.
Beliau memetik DUN Bukit Kepong sebagai contoh, di mana calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Sahruddin Jamal, hanya memperoleh 21.1 peratus undi, tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Ahmad Syar’e Yusof, yang meraih kemenangan dengan 16,386 undi (61.4 peratus), iaitu majoriti 10,761 undi.
Di Endau pula, katanya, Alwiyah Talib berjaya mempertahankan kerusi itu walaupun keluar dari Bersatu dan menyertai semula Umno bulan lepas, dengan memperoleh majoriti lebih besar iaitu 3,545 undi, berbanding majoriti 3,041 undi yang diperolehnya pada 2022 ketika bertanding sebagai calon Bersatu.
Calon PN daripada PAS, Hasnul Hakimi Hussein, pula memenangi 32.4 peratus undi, yang berkemungkinan mewakili sokongan asas kepada Bersatu, tetapi di kawasan lain, bahagian undi tertinggi hanya 21 peratus di Maharani, dan itu pun untuk PAS.
“Ini jelas menunjukkan prestasi Bersatu di Johor agak teruk, dan saya rasa Muhyiddin juga boleh tewas di Pagoh jika beliau bertanding pada PRU akan datang,” kata Ong.
Pemimpin Bersatu tolak dakwaan jadi punca kekalahan
Semalam, dua pemimpin Bersatu menolak dakwaan bahawa parti itu menjadi punca kekalahan teruk PN pada PRN Johor.
Sahruddin, yang juga ketua Bersatu Johor, berkata semua parti komponen PN berkongsi tanggungjawab atas kekalahan gabungan itu, manakala Ketua Sayap Bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan pula menuduh pemimpin Parti Wawasan Negara (Wawasan) cuba melemahkan Bersatu.
Sanjeevan turut berkata, Bersatu telah dipinggirkan sepanjang kempen PRN Johor, dan menggesa Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan susulan prestasi buruk gabungan tersebut.
PN meletakkan 33 calon pada PRN Johor, iaitu 16 daripada Bersatu, 11 daripada PAS, lima daripada MIPP, dan seorang daripada Pejuang. Kesemua mereka tewas, dengan 21 daripadanya turut hilang wang deposit.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.