
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong, mengecam PAS kerana hanya lewat menyatakan pendirian mengenai kontroversi Jalur Gemilang terbalik, sambil mempersoalkan sama ada PAS takut kehilangan perhatian kepada Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh.
Woo berkata kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, yang menolak laporan polis terhadap tindakan “samseng politik” menimbulkan persoalan sama ada PAS merestui intimidasi terhadap peniaga kecil.
“Takiyuddin kata Pemuda PAS dinasihat supaya tidak campur tangan, tetapi realitinya, seminggu lebih awal Pemuda PAS sudah pun menubuhkan ‘Skuad Pengesan Bendera’ untuk memburu mereka yang dituduh mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik. Bukankah ini bercanggah?” kata Woo.
Beliau menambah, Pemuda PAS seolah-olah mahu “menunggang isu” dengan menyokong tindakan Akmal di Pulau Pinang, namun gagal hadir pada himpunan itu.
“Dalam masyarakat majmuk Malaysia, ahli politik sepatutnya membina jambatan perpaduan, bukan meniup sentimen perpecahan. Sekolah bukan musuh, peniaga kecil juga bukan musuh; musuh sebenar ialah ahli politik yang memperalat isu demi publisiti murahan,” tegas Woo.
Sebelum ini, Takiyuddin menggesa DAP dan Umno menyelesaikan kontroversi Jalur Gemilang secara dalaman tanpa membebankan pihak polis atau melibatkan orang awam.
Beliau berkata isu itu telah diperbesarkan oleh tindakan balas kedua-dua pihak yang masing-masing mempunyai sebab dan motif tersendiri.
“Perkara ini berpunca daripada seorang individu yang tersilap mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, dan kini sedang disiasat polis. Tidak perlu menambah beban pihak berkuasa atau mengheret masyarakat dalam perbincangan yang tidak sihat,” katanya.
Takiyuddin turut mengesahkan PAS telah mengarahkan sayap pemudanya untuk tidak campur tangan dalam hal berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.