
Pulau Pinang masih dilihat sebagai kubu terkuat Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, namun perkembangan politik di Sabah wajar dijadikan peringatan agar gabungan itu tidak terlalu selesa menjelang pilihan raya akan datang, kata para penganalisis.
Ahmad Zaharudin Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata walaupun majoriti pengundi bukan Melayu di Pulau Pinang masih cenderung menyokong PH, sokongan itu tidak wajar dianggap kekal secara automatik.
Menurutnya, sejarah politik negara menunjukkan bahawa kawasan yang dianggap selamat juga boleh berubah sekiranya pengundi merasakan wujud jurang antara janji politik dan realiti kehidupan harian.
“PH jangan terlalu yakin, Sabah sudah jadi amaran. Benteng yang kelihatan kukuh boleh retak dari dalam,” katanya kepada FMT, sambil merujuk kegagalan DAP meraih sebarang kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah tahun lalu.
Ancaman undi rendah dan pergerakan undi Melayu
Ahmad Zaharudin turut menyatakan cabaran kepada PH mungkin timbul sekiranya kadar keluar mengundi dalam kalangan penyokong tradisi gabungan itu rendah, manakala undi Melayu pula bergerak lebih tersusun kepada blok lawan.
“Isu kos sara hidup, sentimen agama dan kaum, serta keyakinan terhadap institusi negara perlu diurus dengan lebih cermat kerana ia boleh mempengaruhi persepsi pengundi, khususnya dalam kalangan Melayu,” ujarnya.
Laporan Straits Times Singapura pada 8 Mei lalu menyebut PH Pulau Pinang mungkin kehilangan majoriti, berdasarkan ramalan seorang tokoh kanan DAP yang tidak dinamakan. Laporan itu turut mendakwa wujud kebimbangan dalam DAP mengenai sama ada ketidakpuasan hati terhadap kerajaan persekutuan boleh menjejaskan kedudukan PH di negeri itu.
Namun, Ketua Menteri Chow Kon Yeow menepis laporan tersebut.
Kerajaan perpaduan pada masa ini memegang 29 daripada 40 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, dengan PH memegang 27 kerusi dan Barisan Nasional (BN) dua. Majoriti dua pertiga dicapai dengan 27 kerusi, manakala majoriti mudah ialah 21 kerusi.
Terlalu awal simpulkan PH tergugat
Penganalisis dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi bagaimanapun berkata terlalu awal untuk menyimpulkan PH benar-benar tergugat sehingga boleh kehilangan kerajaan negeri.
Menurutnya, DAP masih mempunyai asas sokongan yang kukuh di kerusi yang ditandinginya, manakala PH secara keseluruhan masih berada pada kedudukan lebih baik berbanding pihak lawan.
“Yang lebih realistik ialah PH mungkin berdepan cabaran mempertahankan majoriti selesa, bukan semestinya kehilangan kuasa. Jika PH turun daripada 27 kerusi kepada 23 atau 24 kerusi, kerajaan negeri masih boleh dibentuk, tetapi mandat politiknya kelihatan lebih kecil,” jelasnya.
Awang Azman turut menegaskan PH perlu lebih agresif mendekati pengundi Melayu, memperkukuh imej kepimpinan negeri yang inklusif, serta memperbaiki komunikasi dasar kepada rakyat bawahan.
“DAP juga tidak boleh hanya dilihat sebagai parti pembangunan bandar, tetapi perlu menunjukkan ia memahami keresahan sosial semua kaum,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.