
PKR telah menggugurkan keahlian Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, susulan pengumuman mereka untuk mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing dan meninggalkan parti.
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata, parti telah menerima rakaman ucapan kedua-dua wakil rakyat tersebut, yang secara jelas mengumumkan hasrat mereka untuk mengosongkan kerusi Parlimen dan keluar daripada PKR.
“PKR menerima hasrat tersebut dan mengikut Fasal 9(1)(c) dalam perlembagaan PKR, maka tergugur keanggotaan mereka dengan pengisytiharan keluar parti,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Perlembagaan Persekutuan jadi sandaran
Fuziah turut memetik peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong sekiranya beliau tidak lagi menjadi anggota parti politik yang sama selepas dipilih ke Dewan Rakyat sebagai wakil parti berkenaan.
Beliau menambah, perkara ini akan dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul bagi menentukan status rasmi kedua-dua Ahli Parlimen tersebut berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Status ahli parlimen lain turut disemak
PKR juga menyatakan akan menentukan status keanggotaan Ahli Parlimen parti yang turut hadir dalam program anjuran Rafizi dan Nik Nazmi.
Antara mereka yang hadir ialah Wong Chen (Subang), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.