
Bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua menyeru agar satu tempoh masa ditetapkan untuk membubarkan kerajaan perpaduan, dengan mendakwa pentadbiran semasa “sama sekali tidak dapat dipertahankan.”
Pua berkata demikian menyusuli pengumuman Barisan Nasional (BN) Johor semalam yang akan bertanding solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, Umno telah “memaparkan belang sebenar” melalui pengumuman tersebut.
PH perlu tamatkan “aturan janggal” ini
Pua mengakui bahawa Pakatan Harapan (PH) telah melakukan kompromi besar demi memastikan kestabilan politik di bawah kerangka kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, yang menurutnya memberi manfaat kepada Malaysia.
“Namun, aturan janggal ini mesti ditamatkan pada masanya. Tiada sebab untuk mempercayai pemimpin Umno yang mendakwa bahawa keputusan BN Johor tidak menjejaskan hubungan PH-BN di peringkat persekutuan,” katanya dalam catatan di Facebook.
Pua mengakui bahawa PH mungkin berdepan kesukaran sekiranya bertanding bersendirian pada pilihan raya, namun menegaskan adalah lebih baik kalah dengan maruah dan kehormatan daripada menanggung risiko dikhianati.
“Biar putih tulang, jangan putih di mata,” ujarnya.
Reaksi PH Johor dan pendirian Umno
Sebagai respons kepada pengumuman BN tersebut, PH Johor turut mengumumkan hari ini bahawa gabungan itu juga akan bertanding di semua kerusi DUN Johor.
Ketua BN Johor yang juga Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi sebelum ini menyatakan keputusan bertanding di semua 56 kerusi dibuat selepas mengambil kira pandangan dan aspirasi rakyat Johor, serta maklum balas daripada pemimpin akar umbi Umno dan BN di negeri itu.
Timbalan Pengerusi Umno Johor Ahmad Maslan pula menegaskan Umno dan BN akan terus menyokong kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, walaupun BN Johor merancang bergerak solo pada PRN akan datang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.