
ilihan Raya Negeri Melaka hampir pasti akan diadakan dalam tempoh empat bulan dari sekarang, tanpa perlu menunggu tamat penggal Dewan Undangan Negeri pada penghujung tahun ini.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Ab Rauf Yusoh, mengesahkan perkara itu selepas menghadiri Majlis Sirih Pulang Ke Gagang di Villa D’ Acqua Kampung Pulau, Masjid Tanah, malam tadi.
“Pastinya dalam tempoh 120 hari lagi sebab kita tidak boleh tunggu sehingga tarikh tamat pada 30 Disember ini kerana itu sudah hampir masuk bulan Ramadan. Jadi kita melihat waktu yang sesuai dalam tempoh 120 hari ini dan melihat kebolehupayaan untuk mengadakan pilihan raya mengikut perancangan,” katanya.
Gerak kerja BN bermula sejak tahun lalu
Ab Rauf, yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, berkata persiapan menghadapi pilihan raya sudah pun dimulakan sejak tahun lalu, termasuk mengaktifkan semua Pusat Daerah Mengundi di seluruh negeri.
“Kita dah mula gerak kerja sejak tahun lalu lagi kerana tempoh berkempen kebiasaannya hanya dua minggu. Insya-Allah, melihat kepada penerimaan masyarakat di Melaka, kita yakin menjadi pilihan utama rakyat kerana kita berjaya membawa perubahan dalam landskap pentadbiran kerajaan negeri diterajui UMNO dan BN ketika ini,” katanya.
Pada majlis yang sama, Ab Rauf menerima borang keahlian UMNO daripada 190 individu dari seluruh Parlimen Masjid Tanah, mencerminkan sokongan akar umbi yang terus mengalir masuk menjelang pilihan raya.
Solo atau bergabung masih belum diputuskan
Apabila ditanya sama ada BN akan bertanding secara solo atau bersama gabungan lain pada pilihan raya akan datang, Ab Rauf berkata perkara itu masih belum diputuskan.
“Itu kita belum fikirkan lagi sama ada solo ataupun bersama. Kita akan tunggu masa sesuai untuk buat pengumuman,” ujarnya.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-15 pada tahun 2021, BN telah memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan. Penggal semasa DUN Melaka dijangka tamat pada Disember ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.