
Perikatan Nasional (PN) sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menggantung gabungan itu, kata Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.
Beliau turut mendakwa penggantungan itu dibuat pada hari pengumuman dan kuat kuasa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, bagi membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) dalam waktu terdekat.
“PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN adalah natijah agenda berniat jahat dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar PN,” katanya dalam kenyataan.
PN tidak setuju asas keputusan JPPM
Menurut Takiyuddin, notis dan perintah penggantungan diserahkan kepada PN secara berturut-turut pada 22 dan 23 Sept.
Beliau menjelaskan, JPPM memberi tempoh 30 hari kepada PN untuk menjawab aduan Bersatu berhubung suatu mesyuarat pada 16 Julai lalu.
“PN mengambil maklum keputusan JPPM, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya,” katanya.
Takiyuddin berkata, PN turut mengeluarkan perintah larangan berkuat kuasa serta-merta kepada mana-mana pihak daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi pihak PN, kecuali Pengerusi Ahmad Samsuri Mokhtar dan beliau sendiri.
PN menyifatkan tindakan JPPM sebagai cadangan ‘pembatalan’, selepas menerima notis di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) yang memerintahkan penggantungan semua kegiatannya sehingga ‘tarikh yang tidak ditentukan’.
JPPM nafi PN dibatalkan
Hari ini, JPPM menafikan pendaftaran PN dibatalkan. Jabatan itu menegaskan gabungan tersebut diberi tempoh munasabah untuk menjawab notis bagi menjelaskan aduan yang dilaporkan Bersatu.
Justeru, semua kegiatan PN digantung berkuat kuasa 23 Sept sejajar Subseksyen 13(2A) Akta 832.
Reaksi PAS dan Gerakan
Sementara itu, PAS dalam kenyataan berkata parti itu bersama-sama parti komponen PN akan meneliti tindakan JPPM dan mengambil segala langkah yang wajar mengikut lunas undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.
Parti itu yakin notis dan perintah yang dikeluarkan JPPM akan diuruskan mengikut peruntukan undang-undang dan proses perundangan sewajarnya.
PAS turut menyatakan bahawa notis dan perintah penggantungan itu dikeluarkan pada tarikh yang sama dengan pengumuman dan pembubaran DUN Melaka.
Dalam perkembangan berasingan, Gerakan berkata tindakan JPPM itu ‘mengejut dan amat mengecewakan’, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku ketika proses pilihan raya di Melaka semakin hampir.
“Malangnya, notis penggantungan yang diberikan kepada PN agak tidak selari dengan semangat demokrasi yang sepatutnya kita luhurkan.
“Menjunjung prinsip demokrasi yang adil dan terbuka seharusnya menjadi tanggungjawab bersama, sama ada dalam kalangan parti politik mahupun penjawat awam,” katanya dalam kenyataan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.