
Jumlah kerusi yang ditandingi PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dikurangkan kepada 11 berbanding 15 kerusi pada PRN sebelumnya, sebagai sebahagian daripada strategi Perikatan Nasional (PN) menghadapi pilihan raya pada 11 Julai ini.
Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pengurangan itu bukanlah perkara negatif, sebaliknya merupakan keputusan yang dibuat berdasarkan pertimbangan semasa dan strategi terbaik.
“Mana-mana parti yang ingin bertanding dalam pilihan raya tentulah membuat pertimbangan berdasarkan senario semasa berbanding lima atau empat tahun lalu. Kita bertanding kerana kita mahu menang,” katanya selepas Majlis Pengumuman Calon PAS-PN bagi PRN Johor di Muar.
Kerusi baharu dan kerusi yang ditinggalkan
Pada PRN Johor 2022, PAS bertanding di 15 kerusi DUN termasuk Jementah, Pemanis, Kemelah, Tenang, Maharani, Sungai Balang, Semerah, Seri Medan, Bukit Pasir, Endau, Tenggaroh, Tiram, Pasir Raja, Kahang dan Bukit Kepong.
Bagi PRN kali ini, PAS mempertahankan 11 kerusi iaitu Jementah, Tenang, Maharani, Sungai Balang, Semerah, Seri Medan, Endau, Tiram, Pasir Raja, Kahang dan Simpang Jeram.
Empat kerusi yang tidak lagi ditandingi PAS ialah Pemanis, Kemelah, Tenggaroh dan Bukit Kepong, manakala Simpang Jeram merupakan kerusi baharu bagi parti itu pada pilihan raya kali ini.
Daripada 11 calon PAS yang diumumkan, lebih 50 peratus merupakan muka baharu, termasuk dua calon wanita iaitu Normala Sudirman di DUN Tenang dan Yuhanita Yunan di DUN Pasir Raja.
“Ada yang pernah bertanding sebelum ini dan mungkin juga di kerusi yang berbeza. Bagaimanapun, lebih 50 peratus daripada mereka adalah muka baharu yang akan membawa pendekatan serta tenaga baharu untuk PAS dan PN,” jelas Ahmad Samsuri.
Bersatu dan MIPP turut umumkan calon
Sementara itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mengumumkan 16 calon parti itu di Pagoh. Antara yang dipertaruhkan ialah bekas Menteri Besar Johor, Sahruddin Jamal, yang akan mempertahankan kerusi Bukit Kepong, serta bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon, yang dicalonkan di Senggarang.
Turut disenaraikan ialah Abd Mutalip Abd Rahim yang baru menyertai Bersatu selepas keluar Umno, dan dicalonkan di Layang-Layang.
Muhyiddin menegaskan bahawa Johor memerlukan kekuatan baharu, idea baharu dan kerajaan yang lebih baik bagi menganjak pembangunan negeri ke tahap lebih tinggi dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
MIPP buat penampilan sulung dalam pilihan raya
Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) pula mencatat sejarah dengan membuat penampilan pertama dalam pilihan raya, bertanding di lima kerusi atas tiket PN.
Lima calon MIPP ialah Lina Manoh Manogaran di Bukit Permai, Jeevakumar Dhayalan di Paloh, Anna Pravina Segaran di Kota Iskandar, Ariventharan Anandan di Pemanis dan Vela Tebakumaran di Permas.
Presiden MIPP, P Punithan, menyifatkan pengumuman itu sebagai detik bersejarah bukan sahaja untuk parti, tetapi juga bagi masyarakat India dan rakyat Johor secara keseluruhan.
Sekutu PN, Pejuang, turut menamakan calon tunggalnya, Suraya Sulaiman, bagi kerusi Gambir.
PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai, dengan penamaan calon pada 27 Jun dan pengundian awal pada 7 Julai.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.