
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, menegaskan keputusannya meninggalkan parti bukan didorong oleh ketidakpuasan hati kerana anaknya tidak dipilih sebagai calon, sebaliknya ia merupakan bantahan terhadap sistem pemilihan calon parti bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Puad berkata dakwaan Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, yang mendakwa beliau bertindak sedemikian semata-mata kerana anaknya tidak berjaya menjadi calon adalah tidak tepat sama sekali.
“Maka sistem pilih calon itu yang saya protes. Apabila tidak dilayan, apa lagi pilihan yang saya ada? Parti jadi milik eksklusif. Sebab itu saya melakukan kamikaze untuk sedarkan pemimpin,” tulisnya di Facebook.
Persoal sebab anak ketua bahagian lain boleh bertanding
Puad turut menegaskan bahawa isu beliau mencadangkan nama anaknya untuk bertanding di DUN Rengit, kawasan yang pernah diwakilinya, tidak sepatutnya dijadikan bahan pertikaian.
“Mengenai anak saya, salahkah kalau saya mencadangkannya? Kenapa itu jadi isu? Kalau tidak boleh, kenapa anak perempuan ketua bahagian Ledang, Abdul Rahim Talib, boleh bertanding di Serom,” katanya, merujuk kepada pencalonan Nadirah Afiqah Abdull Rahim.
Nadirah Afiqah menggantikan bekas exco pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On, dalam senarai calon tersebut.
Cadang anak yang terlatih bukan satu kesalahan
Puad berhujah bahawa mencadangkan anak sendiri sebagai calon bukanlah satu kesalahan, selagi individu berkenaan bersedia memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Tidak salah mencadangkan anak yang terlatih sebagai calon. Ali melatih anak perempuannya menjadi peninju. Sudah tentu anak itu dibawa masuk gelanggang setelah dia cukup bersedia untuk bertempur,” katanya, dalam rujukan kepada peninju legenda Muhammad Ali.
Beliau turut mempersoalkan pemilihan bekas Adun Endau daripada Bersatu, Alwiyah Talib, sebagai calon Barisan Nasional (BN) di DUN Endau.
Asyraf dakwa Puad keluar kerana isu pencalonan anak
Awal hari yang sama, Asyraf mendakwa Puad meninggalkan Umno kerana anaknya tidak dicalonkan di DUN Rengit pada PRN Johor yang dijadualkan pada 11 Julai ini.
Asyraf turut melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Puad yang mengaitkan keputusannya keluar parti dengan dakwaan bahawa istana mengawal Umno Johor sehingga menitahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 1 Jun lalu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.