
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
KPM dalam kenyataan berkata, langkah itu diambil selepas PDRM mengumumkan Pasukan Petugas Khas Bukit Aman mengambil alih siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus. Kes ini adalah keutamaan kami pada masa ini,” kata kenyataan itu.
KPM berharap siasatan ini dapat dijalankan secara adil demi keadilan kepada keluarga mangsa dan semua pihak yang terlibat.
Pada 16 Julai, Zara ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, pada 17 Julai.
Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan kubur Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan. Pada 9 Ogos, jenazah beliau digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I sebelum dikebumikan semula pada awal pagi 10 Ogos.
Kes ini telah menarik perhatian umum seluruh negara susulan dakwaan Zara menjadi mangsa buli pelajar senior di sekolah tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.