
Timbalan Menteri Besar Dr Mohamed Fadzli Hassan menyatakan bahawa Kelantan hanya merekodkan 93 kes HIV, iaitu 2.48% daripada jumlah keseluruhan kes di Malaysia, sekali gus menepis dakwaan bahawa negeri itu paling teruk terjejas akibat gejala songsang.
Beliau berkata, data Kementerian Kesihatan (KKM) bagi 2023 menunjukkan Selangor mencatat 1,062 kes, diikuti Kuala Lumpur (357), Sabah (320), Pulau Pinang (256) dan Sarawak (248).
“Fakta ini jelas menolak dakwaan bahawa Kelantan adalah negeri paling teruk. Kelantan sentiasa serius melindungi masyarakat daripada kerosakan moral melalui pelaksanaan dasar berasaskan Islam, termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, bagi mencegah penularan gejala tidak sihat,” katanya.
Beliau menegaskan dasar tersebut bukan bertujuan menghukum membuta tuli, sebaliknya untuk memelihara kesejahteraan masyarakat daripada ideologi songsang luar negara.
Mohamed Fadzli turut menyatakan, corak jangkitan HIV di Malaysia telah berubah dengan ketara dalam tiga dekad lalu: “Pada 1990, 61% kes berpunca daripada penggunaan dadah suntikan (IVDU). Pada 2024, 64% kes melibatkan hubungan sejenis, 32% hubungan heteroseksual, dan hanya 3% IVDU,” ujarnya.