
Persaingan AI di Silicon Valley semakin hangat apabila syarikat teknologi besar bersaing menarik bakat terbaik. Baru-baru ini, Ketua Model Asas AI Apple, Ruoming Pang dilaporkan akan meninggalkan syarikat itu dan menyertai Meta.
Menurut laporan, Meta menawarkan pakej gaji mencecah puluhan juta dolar kepada Pang. Beliau akan menyertai bahagian baharu Meta yang diberi nama “Superintelligence”, yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg.
Pang menyertai Apple pada 2021 selepas meninggalkan Alphabet, dan mengetuai pasukan seramai 100 orang yang membina model asas untuk “Apple Intelligence” dan fungsi AI lain. Namun, prestasi AI Apple dilaporkan jauh ketinggalan berbanding model dari OpenAI, Anthropic dan juga Meta.
Dilaporkan Apple kini mempertimbangkan untuk menggunakan teknologi AI daripada Anthropic atau OpenAI bagi memperbaharui Siri, sekali gus menunjukkan perubahan besar dalam strategi AI mereka.
Pemergian Pang dijangka melemahkan lagi keupayaan AI dalaman Apple.
Meta juga mengumumkan pengambilan penyelidik dari OpenAI, Yuanzhi Li, serta Anton Bakhtin yang terlibat dengan projek Claude di Anthropic. Dalam tempoh dua minggu lalu sahaja, Meta telah berjaya menarik hampir 10 jurutera dari OpenAI, yang memaksa syarikat itu menyemak semula struktur gaji demi mengekalkan kakitangan utama.