
Persatuan Doktor Pergigian India Malaysia (MIDA)menggesa kerajaan memperkenalkan satu skim sokongan penjagaan kesihatan pergigian kebangsaan menerusi Belanjawan 2026, bagi meningkatkan akses rawatan pergigian yang mampu milik dan berunsur pencegahan, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).
Presidennya, Dr S Sarsilan berkata, Malaysia kini berdepan kadar penyakit mulut yang boleh dicegah pada tahap membimbangkan, dengan ramai pesakit tidak mampu menanggung kos rawatan atau terpaksa menunggu lama di klinik kerajaan.
Dalam kenyataan media, beliau menjelaskan bahawa pergantungan kepada bayaran terus daripada pesakit menjadikan penjagaan pergigian sukar dicapai oleh ramai rakyat. Kos rawatan asas seperti pembersihan gigi (scaling), tampalan, dan cabutan mencecah antara RM100 hingga RM500, manakala rawatan gigi palsu dan saluran akar (root canal) jauh lebih tinggi.
Sebagai penyelesaian, MIDA mencadangkan skim yang dinamakan”My Gigi Care”dengan peruntukan tahunan antara RM250 hingga RM500 untuk setiap rakyat, bermula dengan golongan B40, diikuti M40, dan akhirnya diperluas kepada seluruh rakyat Malaysia.
Perkhidmatan yang dicadangkan termasuklah pembersihan gigi, tampalan, cabutan, gigi palsu, saringan kanser mulut dan pendidikan kebersihan mulut. Rawatan boleh diperoleh di klinik kerajaan serta klinik pergigian swasta yang mengambil bahagian.
Dr Sarsilan menyatakan bahawa skim serupa di Singapura, Australia dan New Zealand telah menunjukkan kesan positif serta mengurangkan jurang ketidaksamarataan dalam akses kepada rawatan pergigian.
Beliau turut menambah bahawa pihak persatuan bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan pihak swasta untuk melaksanakan projek perintis”My Gigi Care”di kawasan kurang liputan bermula tahun depan, dengan matlamat peluasan ke seluruh negara.
“Ramai dalam kalangan B40 dan M40 menangguh atau langsung tidak mendapatkan rawatan. Ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan mulut mereka, malah menurunkan produktiviti kerja dan meningkatkan risiko penyakit lain,” katanya.
“Kesihatan oral ialah aspek penting dalam kesihatan umum yang sering diabaikan. Tanpa campur tangan awal, sistem kesihatan awam akan terus dibebani dengan penyakit yang boleh dicegah.”
Dr Sarsilan memetik data Kementerian Kesihatan yang menunjukkan hampir 89% orang dewasa mengalami kerosakan gigi, manakala 94% mengalami penyakit gusi.
Dalam kalangan murid berusia 12 tahun, hingga 42% pernah mengalami karies gigi. Beliau juga menyatakan bahawa kanser mulut merupakan kanser ketiga paling biasa dalam kalangan masyarakat India di Malaysia.
Beliau turut menekankan bahawa rawatan pencegahan boleh menjimatkan kos jangka panjang, dengan setiap RM1 yang dilaburkan berpotensi menjimatkan sehingga RM7 dalam kos rawatan masa depan.
“Kesihatan mulut yang baik membawa kepada kurang ketidakhadiran sekolah dalam kalangan kanak-kanak, pemakanan lebih baik dalam kalangan warga emas dan peningkatan produktiviti tenaga kerja.”
MIDA turut mencadangkan agar skim ini diintegrasikan dengan aplikasi MySejahtera atau platform digital setara bagi memantau penggunaan dan merekodkan data pergigian secara digital.