
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak pernah menutup ruang demokrasi dalam parti apabila terus membenarkan jawatan Presiden dipertandingkan meskipun Abdul Hadi Awang telah mengesahkan akan mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan Muktamar PAS ke-71 yang akan datang.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, meskipun parti memberi ruang sepenuhnya untuk pertandingan tersebut, beliau yakin tiada calon yang akan tampil mencabar kepimpinan Abdul Hadi.
“Dasar kita adalah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden terbuka untuk dipertandingkan sekiranya ada pencalonan. Presiden mahu bertanding semula dan jika ada yang ingin mencabar, ia dibenarkan.
“Kita tidak menetapkan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak boleh dipertandingkan. Namun, adakah sesiapa yang berani mencabar Ustaz Hadi?
“Itu terpulang, sekiranya ada pihak yang mahu mencalonkan seseorang dan calon itu bersedia, maka boleh bertanding. Tetapi saya yakin tiada siapa yang akan bertanding,” katanya kepada Berita Harian di sini.
Sebelum ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang telah mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Presiden PAS pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung di Kedah, September ini.
Beliau dilaporkan berkata bahawa beliau tidak berhasrat untuk melepaskan jawatan Presiden yang telah dipegangnya lebih daripada 20 tahun.
Untuk rekod, Abdul Hadi pernah dicabar bagi jawatan Presiden PAS oleh Ahmad Awang dalam pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada tahun 2015.
Pada ketika itu, Abdul Hadi menerima 928 undi, manakala Ahmad yang merupakan pencabar tunggal memperoleh 233 undi — merupakan kali pertama jawatan Presiden PAS dipertandingkan secara langsung.
Mengulas lanjut mengenai tahap kesihatan Abdul Hadi, Hashim menyatakan bahawa keadaan uzur beliau hanya melibatkan aspek fizikal, sementara tahap mentalnya masih baik.
“Kita boleh lihat sebelum ini, walaupun beliau kelihatan uzur dan perlu dibantu untuk naik ke pentas, beliau masih mampu berucap selama dua jam. Ini menunjukkan mental beliau masih kuat.
“Cuma dari segi fizikal agak lemah, tetapi beliau masih mampu bercakap dan memberi pandangan. Bagi orang PAS, pandangan pemikiran itu yang diutamakan,” katanya.
Hashim turut menyangkal dakwaan bahawa penyokong PAS terlalu taksub terhadap kepimpinan Abdul Hadi sehingga menolak pemimpin pelapis.
“Tidak begitu… kita tidak menghalang seperti mana sesetengah parti lain. Kita tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Cuma, oleh kerana Presiden masih bersedia untuk memimpin, maka tidak timbul isu,” katanya.
Cadangan Penubuhan Majlis Presiden PN Perlu Dirunding Secara Terperinci
Dalam perkembangan lain, Hashim menyatakan bahawa beliau secara peribadi bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Presiden dalam Perikatan Nasional (PN), namun menegaskan bahawa perkara itu perlu diperhalusi menerusi rundingan antara parti-parti komponen.
Beliau memaklumkan bahawa perkara tersebut masih dalam perbincangan melalui jawatankuasa yang melibatkan PAS, BERSATU dan parti komponen lain.
“Saya bukan ahli jawatankuasa itu, tetapi saya berharap jika terdapat sebarang pertindihan pandangan, ia dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Ini penting agar kita dapat menghadapi PRU sebagai satu barisan yang padu, yang mana kita mesti mencapai kata sepakat dalam pembahagian kerusi antara parti-parti komponen.
“Dahulu, kita bertanding secara tergesa-gesa dengan rundingan yang minimum, sebab itu kita guna lambang PAS di Kelantan dan Terengganu,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai pandangan penganalisis politik bahawa penubuhan Majlis Presiden adalah kaedah halus untuk mengehadkan kuasa Pengerusi PN yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Hashim berkata perkara itu hanya boleh diputuskan melalui perundingan akan datang.
“Itu akan diputuskan semasa penubuhan kelak. Tidak boleh dikatakan sama ada ia akan mengurangkan atau menambah kuasa. Kita serah kepada pakar dan proses rundingan untuk menentukan mana yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, PAS mencadangkan agar PN menubuhkan sebuah Majlis Presiden yang dianggotai oleh semua ketua parti dalam gabungan tersebut.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, menyatakan bahawa cadangan tersebut telah dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi BERSATU.