
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mengecam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kerana didakwa menunjukkan pendirian yang tidak konsisten berhubung isu kebebasan badan kehakiman. Beliau menyifatkan perubahan pendirian tersebut sebagai bukti bahawa PAS hanya berminat menunggang isu untuk kembali berkuasa sebagai menteri.
Rafizi mendedahkan bahawa Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini meletakkan syarat agar beliau menyertai perhimpunan bersama mereka sebelum Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu kebebasan kehakiman.
Namun begitu, tidak lama selepas itu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menyatakan bahawa kenyataan Tuan Ibrahim bukanlah pendirian rasmi parti, sebaliknya mendakwa PAS menyokong cadangan tersebut.
“Keesokan harinya, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan pula menyatakan bahawa pembangkang menolak cadangan RCI. Dalam tempoh seminggu, PAS telah mengubah pendirian sebanyak tiga kali,” kata Rafizi dalam satu hantaran di Facebook.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu menyamakan keadaan tersebut dengan “kebolehan PAS menjatuhkan hukuman mengikut kesesuaian suasana”, asalkan dapat menunggang isu berkenaan demi keuntungan politik.
Tambah Rafizi, isu kebebasan institusi kehakiman seharusnya diberi perhatian serius oleh semua pihak, tanpa mengambil kira keuntungan politik jangka pendek.
“Akhirnya, wakil rakyat kerajaan di barisan belakang (backbencher) pula yang lebih lantang bersuara, sedangkan pembangkang hanya berminat ‘menebuk atap’ untuk kembali menjadi menteri.
“Memang sukar untuk tidak menunggang jika satu-satunya strategi politik yang dimiliki adalah menunggang. Namun, jika PAS tersilap langkah, mereka akan kelihatan tidak bijak,” sindir Rafizi.