
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar memberi bayangan bahawa rakyat Malaysia bakal menerima satu kejutan yang menyenangkan, susulan hantaran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengenai “penghargaan luar biasa” kepada rakyat di laman Facebook beliau.
“Ini satu kejutan yang akan menggembirakan rakyat. Jika ia berkaitan penjawat awam, maka pastinya mereka juga akan gembira, Insya-Allah,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Tindakan Antarabangsa Ketiga anjuran Azman Hashim International Business School (AHIBS-ACT 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Poster berkaitan turut dimuat naik di laman rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mencetuskan spekulasi meluas dalam kalangan warga maya mengenai bentuk penghargaan yang bakal diumumkan.
Namun, ketika diminta mengulas lanjut, Shamsul Azri enggan mendedahkan butiran lanjut. “Saya bukan ahli silap mata. Tunggu sahaja. Ini kejutan yang dikunci rapi,” ujarnya secara ringkas.
Beliau juga tidak menetapkan sebarang tarikh khusus bagi pengumuman tersebut, sebaliknya menyeru semua pihak memberi ruang kepada kerajaan untuk membuat pengumuman pada masa yang sesuai.
Semalam, Perdana Menteri memuat naik satu hantaran pendek di laman Facebook rasmi beliau, memberikan petunjuk bahawa satu pengumuman penting bakal dibuat sebagai ‘hadiah’ kepada seluruh rakyat Malaysia. Hantaran itu disertai slogan “Bersama Malaysiaku”, sekali gus menambah elemen tanda tanya dalam kalangan netizen.
Walaupun tiada maklumat terperinci dikongsikan, ramai berpendapat pengumuman itu mungkin membawa manfaat besar kepada rakyat, khususnya menjelang pembukaan sidang Parlimen yang akan datang.
Difahamkan, pada hari yang sama, Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat tertutup bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) bagi membincangkan pelbagai isu termasuk persediaan untuk sidang Parlimen. Pertemuan ini adalah susulan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang berlangsung pada Jumaat lalu.