
Malaysia masih belum menemui sebarang bukti kukuh berhubung dakwaan penyeludupan cip kecerdasan buatan (AI) secara besar-besaran, meskipun wujud kebimbangan antarabangsa terhadap penyalahgunaan saluran transit ke negara ketiga, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, peningkatan permintaan terhadap cip AI di Malaysia berpunca daripada pertumbuhan pesat sektor pusat data domestik, sekali gus menarik perhatian pihak luar terhadap potensi risiko penyeludupan.
“Pasukan kami bekerjasama rapat dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia serta pemain industri bagi memastikan pemantauan dan pengesanan rapi,” katanya dalam sidang media pelaporan prestasi suku kedua 2025 kementeriannya.
“Kami juga mengadakan libat urus dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat serta syarikat teknologi utama untuk memastikan kerjasama menyeluruh. Setakat ini, tiada sebarang bukti kukuh ditemui, namun jika ada, tindakan segera akan diambil,” tegas beliau.
Sehubungan itu, kementerian telah mengambil langkah memperketat kawal selia terhadap eksport cip AI berprestasi tinggi yang berpunca dari Amerika Syarikat.
Langkah tersebut bertujuan merapatkan jurang kawal selia sedia ada sambil Malaysia menjalankan semakan menyeluruh sama ada cip AI berprestasi tinggi dari AS wajar dimasukkan dalam Senarai Item Strategik di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA).
Langkah ini diambil susulan laporan bahawa Jabatan Perdagangan AS bercadang menyekat penghantaran cip Nvidia ke China melalui negara ketiga seperti Malaysia dan Thailand.
Kebimbangan terhadap penyeludupan cip AI semakin meningkat sejak Januari lalu apabila Washington memulakan siasatan ke atas kemungkinan negara seperti Singapura dijadikan laluan transit.
Malaysia turut menjadi perhatian selepas Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam, pada 3 Mac lalu memaklumkan bahawa pelayan dilengkapi cip Nvidia yang dieksport ke Malaysia mungkin sebenarnya bertujuan ke destinasi lain.
Mengulas perkara itu, Tengku Zafrul memaklumkan siasatan dalaman tidak menemukan sebarang bukti bahawa pelayan berkenaan tiba di pusat data tempatan sebagaimana yang dilaporkan.