
Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) tidak hadir ke majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) malam tadi, selepas gagal mencapai kesepakatan dengan PN berhubung agihan kerusi PRN Melaka.
Sumber MIPP berkata ketiadaan mereka mencerminkan pendirian parti itu.
“Kami tidak dapat meraikan aturan yang kita tidak sepakati,” katanya.
Setiausaha Agung MIPP, N Sathes Kumar, mengesahkan parti itu tidak akan menghadiri pengumuman berkenaan.
Enggan gadaikan prinsip
Awal hari ini, Presiden MIPP, P Punithan, memberitahu MIPP tidak akan menyertai PRN Melaka selepas gagal mencapai persetujuan dengan kepimpinan PN.
Katanya, MIPP tidak akan menggadaikan prinsip semata-mata untuk mendapatkan kerusi.
Beliau berkata kerjasama berpasukan, sikap saling menghormati serta keterangkuman adalah elemen penting dalam mana-mana gabungan politik.
Menurutnya, pakatan yang kuat mesti dibina atas dasar kepercayaan dan sedia menghormati kepentingan setiap parti komponen.
MIPP tidak memenangi sebarang kerusi yang ditandinginya pada PRN Johor tahun ini, dengan semua lima calonnya hilang wang deposit.
Rakyat Melaka akan memilih pada 14 Nov.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.