
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 dijangka bukan sekadar gelanggang persaingan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Ia turut menjadi ujian kritikal sejauh mana pengundi menentukan pilihan berdasarkan identiti parti, prestasi kerajaan negeri atau kepercayaan peribadi terhadap calon.
Penganalisis politik Azrie Azeh berkata, keputusan PRN Melaka 2021 menyaksikan BN merangkul 21 daripada 28 kerusi, berbanding PH lima kerusi dan PN dua kerusi. Namun, keputusan itu bukan jaminan kemenangan berulang.
Menurutnya, perubahan persepsi dan peralihan keutamaan pengundi boleh mengubah landskap di kawasan marginal.
Ujian untuk BN sebagai penyandang
“Bagi BN sebagai penyandang kerajaan negeri, persoalan kritikalnya ialah sama ada kelebihan jentera dan pengalaman pentadbiran masih disokong prestasi sebenar, atau pengundi mula membezakan kesetiaan parti dengan penilaian terhadap calon serta hasil pemerintahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Azrie berkata, calon BN yang mempunyai hubungan kukuh dengan masyarakat mungkin mampu mempertahankan sokongan meskipun pengundi tidak berpuas hati dengan parti.
Namun, kelebihan itu tidak semestinya dapat mengimbangi kelemahan prestasi kerajaan. Ini terutamanya jika isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan mutu perkhidmatan awam menjadi keutamaan pengundi.
Cabaran PH dan PN
Mengulas cabaran gabungan pembangkang, beliau berpandangan PH bukan sekadar perlu mengeksploitasi ketidakpuasan terhadap BN. Gabungan itu juga perlu membuktikan kredibiliti calon, keupayaan menyelesaikan masalah setempat dan agenda pemerintahan yang meyakinkan, tanpa hanya bergantung kepada populariti sementara.
Bagi PN pula, gabungan itu perlu menterjemahkan sokongan terhadap identiti politik dan mesej perubahan kepada kepercayaan terhadap calon tertentu.
Penolakan terhadap BN atau PH, katanya, tidak secara automatik menjadikan PN pilihan alternatif. Pengundi masih akan mengambil kira aspek pengalaman, integriti dan kebolehan mengurus kawasan.
Parti dan calon saling mempengaruhi
Azrie menjelaskan bahawa kekuatan parti dan pengaruh calon tidak beroperasi secara terpisah. Kedua-duanya saling mempengaruhi melalui reputasi organisasi, persepsi kepimpinan dan pengalaman masyarakat dengan wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Dari sudut analisis elektoral, calon popular tidak semestinya membawa kemenangan kepada parti, manakala calon yang kurang menonjol secara peribadi tetap berpotensi menang menerusi kekuatan jentera dan kesetiaan penyokong.
“Penilaian terhadap calon PRN Melaka tidak seharusnya berhenti pada keramahan atau keterlihatan di media sosial semata-mata, sebaliknya perlu meneliti rekod menyelesaikan masalah, ketelusan menjalankan tanggungjawab dan hasil kerja yang boleh dibezakan daripada aktiviti membina imej,” katanya.
Beliau turut berkata, penguasaan komunikasi digital menjelang pilihan raya memberikan kelebihan dari segi keterlihatan. Namun, jumlah tontonan atau sokongan dalam talian tidak boleh disamakan dengan undi sebenar di peti undi.
“Analisis PRN Melaka perlu membezakan tiga persoalan utama, iaitu sama ada pengundi mempercayai calon, menyokong parti atau menerima prestasi dan agenda pemerintahan yang ditawarkan. Ketiga-tiga faktor itu boleh menghasilkan keputusan yang berbeza di peringkat DUN,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.