
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, sokongan semakin meningkat daripada ahli dan penyokong parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mahu gabungan itu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) mencerminkan semangat perpaduan dan keyakinan tinggi dalam kalangan parti tempatan.
“Ini satu petanda yang cukup baik bagi perpaduan dalam GRS dan semangat parti tempatan ini begitu tinggi sekali untuk menghadapi pilihan raya yang tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menutup Konvensyen Bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Konvensyen tersebut turut dihadiri oleh beberapa pemimpin parti komponen GRS termasuk Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, dan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Ketika diminta mengulas sentimen PBS-STAR yang mahu GRS bertanding sendiri dalam PRN17, Hajiji berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang akan diadakan dalam masa terdekat.
“Kita akan putuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS nanti,” katanya.
Mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Hajiji masih merahsiakan bila beliau akan menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, untuk mencadangkan tarikh pembubaran.
Beliau juga tidak menyatakan sama ada DUN akan dibiarkan tamat tempoh secara automatik pada 11 November depan.
“Jangan tanya itu, kami fikirlah nanti. Sebarang keputusan mesti dibuat melalui Majlis Tertinggi GRS. Walaupun itu prerogatif Ketua Menteri, saya tidak akan mengetepikan rakan-rakan dalam gabungan,” jelasnya.