
Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan lima langkah, termasuk memeterai Piagam Hak Murid Nasional, sebagai usaha menangani isu buli di sekolah.
Beliau berkata piagam itu penting untuk menjamin maruah, keselamatan dan hak setiap pelajar tanpa diskriminasi, di semua institusi pendidikan sama ada milik kerajaan atau swasta.
Dr Maszlee turut mencadangkan agar takrif undang-undang mengenai buli diperjelas dengan memasukkan definisi “buli” dan “buli siber” ke dalam Akta Pendidikan 1996. Beliau menegaskan keperluan penubuhan jawatankuasa pemantau peringkat sekolah dan kebangsaan yang dianggotai wakil ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan serta pihak berkuasa bagi memastikan pelaksanaan langkah-langkah berkenaan.
“Program pencegahan dan intervensi, termasuk kaunseling, pendidikan empati serta tindakan disiplin tegas, mesti dilaksanakan. Di samping itu, pembangunan pangkalan data nasional mengenai kes buli adalah amat penting,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook.
Dr Maszlee menyifatkan tragedi arwah Zara Qairina di Papar, Sabah sebagai satu “panggilan kecemasan” kepada seluruh sistem pendidikan negara, dan menegaskan bahawa keselamatan murid bukan isu sampingan, sebaliknya amanah utama yang wajib dipelihara oleh KPM.
Beliau memetik beberapa negara yang telah memperkenalkan rangka kerja undang-undang atau program khas bagi melindungi hak murid — antaranya Korea Selatan (Student Rights Ordinance sejak 2012), Finland (KiVa Anti-Bullying Programme), Kanada (Safe Schools Act) dan Jepun, di mana setiap insiden buli diwajibkan dilaporkan kepada pihak berkuasa pendidikan melalui sistem pusat yang telus.
“Tiada satu model pun yang sempurna, namun negara-negara tersebut mempunyai langkah dan kerangka yang jelas serta holistik untuk menangani isu buli di sekolah. Malaysia perlu merangka versi sendiri dengan menggabungkan elemen terbaik dari seluruh dunia dan menyesuaikannya dengan realiti tempatan serta pemantauan berterusan,” katanya.
Dr Maszlee menambah bahawa cadangan lima langkah itu pernah diusahakan melalui Laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara 2019 untuk pelaksanaan 2021, namun ia terbantut akibat perubahan kerajaan pada 2020. Beliau menggesa KPM menubuhkan jawatankuasa pelaksanaan dalam tempoh 90 hari dan membentangkan Piagam Hak Murid di Parlimen sebelum akhir tahun ini.
Pada 17 Julai lalu, pelajar Tingkatan Satu, arwah Zara Qairina Mahathir, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah selepas dimasukkan ke hospital itu apabila ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada kira-kira jam 4 pagi pada 16 Julai.