Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mengkaji semula dan meneliti perintah pelepasan yang membolehkan bekas perdana menteri, Najib Razak, menjalani tahanan rumah.
“AGC juga memohon suatu perintah pelepasan yang baharu supaya selaras dengan perintah pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong,” kata Peguam Negara, Dusuki Mokhtar, dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media mengenai penjelasan yang diminta pejabatnya berhubung perintah pelepasan yang dikeluarkan oleh pejabat pendaftaran jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Perintah dikeluarkan selepas denda dibayar
Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pelepasan itu selepas denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas presiden Umno berkenaan dibayar.
Pembayaran tersebut dibuat melalui dana solidariti yang dilancarkan parti terbabit. Ia sekali gus membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Bagaimanapun, AGC kemudian menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah itu sementara menunggu penelitian terhadap pengampunan bersyarat dan perintah pelepasan berkenaan.
Menurut AGC, perkara itu membabitkan persoalan undang-undang yang rumit serta memberi kesan terhadap pelaksanaan pengampunan diraja dan perintah mahkamah.
AGC: Bukan untuk pertikai pengampunan
AGC menjelaskan permohonan itu bukan bertujuan mempertikaikan pengampunan bersyarat yang diberikan. Sebaliknya, ia dibuat untuk mendapatkan penjelasan mengenai kesan undang-undang perintah pelepasan berkenaan.
Kecacatan didakwa timbulkan persoalan
Kecacatan yang didakwa itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pengamal undang-undang.
Ia dilaporkan melibatkan ketepatan istilah dan peruntukan undang-undang yang digunakan dalam dokumen berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.