
Kenaikan tarif sebanyak 25 peratus yang dikenakan terhadap Malaysia merupakan keputusan unilateral oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan bukan hasil daripada proses rundingan bersama.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang memaklumkan bahawa pihak kementeriannya telah mengemukakan pertanyaan rasmi kepada Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) berhubung keputusan berkenaan. Namun, tiada penjelasan diberikan setakat ini.
“Keputusan ini adalah di bawah bidang kuasa mutlak Presiden AS. Malah, Jepun turut mengemukakan soalan yang sama kepada mereka kerana terkejut dengan kenaikan satu peratus tersebut,” katanya pada satu sidang media mengenai isu tarif AS yang diadakan hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Malaysia perlu menilai isu ini dalam konteks yang lebih luas dan objektif.
“Kenaikan satu peratus ini, pada hakikatnya, bukanlah suatu angka yang besar. Malah, kadar tarif ke atas Malaysia masih lebih rendah berbanding beberapa negara serantau seperti Thailand dan Indonesia.
“Apa yang lebih penting ialah tarif ini masih belum dikuatkuasakan. Ia hanya akan berkuat kuasa bermula Ogos. Pihak kami juga akan terus mengikuti dan menghadiri sesi pendengaran yang akan datang,” ujarnya.
Tengku Zafrul turut menekankan bahawa dalam apa jua keadaan, pendirian Malaysia terhadap isu kedaulatan negara adalah jelas dan tidak akan dikompromi.